Hati Yang Mencintai (Episode 1 & 2)


Akif Zairi menyiapkan kertas kerjanya dengan cepat. Dia ingin segera pulang ke rumah untuk menemani isterinya yang sedang sarat. Tatkala teringat wajah tembam isterinya, dia tersenyum sendiri. Setelah setahun membina mahligai dengan isterinya akhirnya mereka dikurniai cahaya mata. Detik yang ditunggu-tunggu oleh setiap lelaki yang sudah berumah tangga sepertinya. Saat bergelar ayah. Saat hendak bangun dari tempat duduknya, kertas kerjanya tertolak gambar pernikahannya. Serta merta bingkai gambarnya berkecai menghempap lantai. Akif Zairi tersentak. Mungkinkah itu adalah petanda? Dia meraup mukanya berdoa agar isteri dan anaknya selamat.

“Kif, ibu telefon. Dia tak dapat hubungi handphone Kif. Bunyinya macam sangat penting,” Alif Zikri meluru masuk ke dalam pejabatnya sambil menyuakan telefon bimbitnya kepada adik kembarnya. Akif Zairi mengerutkan keningnya, mula berasa tidak sedap hati.

“Assala…,”

“Kif, datang ke hospital Hospital Seremban cepat ye?” suara ibunya laju memintas salamnya. Teruk sangatkah keadaan isterinya sehingga ibunya terkocoh-kocoh menyuruhnya datang ke hospital tanpa sempat menjawab salamnya.

“O…Ok. Abang, kita kena pergi ke Hospital Seremban sekarang juga. Cepat,” Akif Zairi masih cuba untuk berlagak tenang walhal di hatinya hanya Tuhan sahaja tahu. Alif Zikri mengangguk mengiyakan.

“Kif!” Panggilnya seraya menyerahkan kot biru milik adiknya berserta dengan dompet dan kunci keretanya. Namun tidak sesekali dia akan membiarkan adiknya memandu dalam keadaan begitu. Dia tahu jauh di sudut hati kembarnya itu dia sangat cemas dan takut meskipun dia mencuba untuk menyembunyikannya.

Dalam masa empat puluh minit, Akif Zairi tiba di hospital bersama-sama dengan abangnya. Dia segera mencari isteri dan ibunya di wad bersalin.

“Ibu, mana Lia bu? Lia selamat ke?” soal Akif Zairi sebaik sahaja terpandangkan ibunya di luar amphiteathre. Mata ibunya kelihatan sembap seperti baru lepas menangis. Apakah yang sudah terjadi kepada isteri dan anaknya?

“Berdoa sajalah, Kif. Ibu panik tadi bila Lia tiba-tiba berdarah. Ibu telefon Kif tapi tak dapat, jadi ibu telefon Alif,”

“Ibu, Kif tak jumpa pun telefon Kif. Maafkan kif ibu,” Ujar Akif Zairi sambil mencium tangan ibunya. Puan Aida menguntum senyum tawar sekadar untuk menenangkan anaknya yang satu itu. Akif Zairi tidak seperti abang kembarnya yang suka berterus-terang dalam soal perasaan.

“Ibu, macam mana dengan Lia Bu?” soal Alif Zikri sebaik sahaja mendapatkan ibu dan adiknya. Saat itu seorang doktor wanita awal empat puluhan merapati mereka bertiga.

“Puan dan Encik ini keluarga Puan Amelia? Saya Dr. Jenn yang mengendalikan kes Puan Amelia,”

“Ya, saya suaminya. Akif Zairi dan ini abang dan ibu saya. Bagaimana dengan keadaan isteri saya?”

“Encik Akif Zairi, isteri encik selamat tetapi kami minta maaf banyak-banyak kerana kami gagal menyelamatkan bayi encik,” Ujar Dr. Jenn dengan tenang dan berhati-hati. Bagi pihak dia sendiri dia sangat kecewa dan sedih menyaksikan kematian seorang bayi yang tidak sempat untuk dilahirkan pun. Apatah lagi kalau kehamilan pertama. Namun, kali ini tugasnya dirasakan sangat berat.

“Dan ada sesuatu lagi yang harus encik tahu. Pada masa kami memerlukan Puan Amelia membuat keputusan, Puan Amelia meminta agar bayinya dilahirkan namun saya berjaya meyakinkan ibu Encik Akif untuk mengutamakan nyawa si ibu terlebih dahulu. Tetapi, uterus Puan Amelia telah terkoyak bersama dengan janinnya dan kami terpaksa mengeluarkan uterus tersebut. Jadi, dukacitanya dimaklumkan Puan Amelia tidak akan dapat mengandung lagi,” Kata-kata terakhir Dr. Jenn benar-benar menyentap jantung Akif Zairi, ibunya dan juga abangnya sendiri.

“Doc, boleh saya berjumpa dengan isteri saya?” soal Akif Zairi lambat-lambat.

Sure,”

“Ayah mana Bu?” soal Alif Zikri tiba-tiba teringatkan ayahnya yang tidak menyertai mereka di situ.

“Ayah pergi lapangan terbang menjemput keluarga Lia,” jawab ibunya pendek. Mata tuanya memerhatikan sahaja anaknya mendapatkan isterinya. Terbit rasa kasihannya terhadap Akif Zairi tetapi siapa yang tahu rencana Tuhan. Dia yakin pasti ada hikmah di sebalik kejadian itu. Alif Zikri memandang wajah tua ibunya dengan penuh tanda tanya. Dari anak matanya sahaja dia sudah tahu ibunya sangat menyayangi adik iparnya melebihi bekas isterinya dahulu. Apakah mungkin kerana wanita itu telah menjauhkan jurang antara dia dan ibunya baru ibunya bertindak sedemikian rupa? Semasa Raina melahirkan putera tunggalnya, ibu dan ayahnya tidak segusar itu. Kadang-kadang dia sendiri merasakan ibunya selalu mendahulukan Akif Zairi darinya. Atau memang diakah yang menderhaka kepada orang tuanya kerana memilih Raina berbanding mereka berdua? Hujungnya, cinta mereka tidak sekuat mana. Masih kasih sayang ibu dan ayahnya yang melebihi mana-mana cinta di muka bumi ini.

“Ibu, sabar sajalah. Anggap je semua ini adalah ujian dari Tuhan. Ibu masih ada Rayyan, Elisya dan yang penting Lia selamat,”

“Ibu faham maksud Alif. Tapi Lia nanti macam mana? Alif tak tahu apa perasaan seorang ibu apabila kehilangan anak. Rasa macam separuh dari nyawa kita yang hilang. Lebih-lebih lagi Akif tu tak dapat nak merasai perasaan menjadi seorang ayah. Cuba Alif bayangkan hidup Alif tanpa Rayyan dan Kak Nani tanpa Elisya. Kesian ibu tengok Kif,” luah Puan Aida sebelum melabuhkan punggungnya di kerusi menunggu. Alif Zikri ikut duduk di sebelah ibunya. Ya, kata-kata ibunya benar. Meskipun sudah bercerai dengan Raina, hidupnya ternyata berbeza dengan lahirnya putera Rayyannya ke dunia. Namun pasti jauh lebih baik jika ada Raina bersama.


“Kif, ibu nak pergi ke surau dulu. Dah nak masuk waktu Asar ni,” Perlahan Puan Aida bangun dari tempat duduknya. Dia percaya andai berserah sahaja kepada ketentuan Tuhan, pasti akan ada jalan dan hidayah buat keluarganya lebih-lebih lagi buat anak bongsu dan menantunya. Dia lebih tahu perasaan kehilangan anak kerana dia sendiri pernah mengalami keguguran. Sebelum kelahiran putera kembarnya, dia pernah hamil dan keguguran kerana terjatuh. Namun tidak lama kemudian Tuhan telah memberikan rezeki dua kali ganda berkat kesabaran dan ketakwaan dia dan suaminya menghadapi kehilangan itu. Mungkin benar itu cuma ujian dari Tuhan untuk menguji iman dan kesabaran kita terhadap dugaan dan ujian-Nya.

Akif Zairi memandang wajah isterinya yang masih lagi nyenyak tidur kerana bius dari pembedahan tadi. Dia menghampiri katil isterinya perlahan-lahan sambil matanya dialihkan pula kepada perut isterinya yang sudah kempis. Air mata kelelakiannya gugur juga meskipun dari tadi dia cuba untuk menahan. Dia enggan dilihat ibu dan abangnya menangis. Dia masih terngiang-ngiang lagi suara isterinya memberitahunya mengenai kehamilannya lima bulan yang lalu. Tinggal sebulan sahaja lagi namun impiannya menimang cahaya mata begitu menggunung. Segala persiapan telah dilakukan dan barang keperluan sudah dibeli namun kini impiannya hancur berderai.

“Sayang, maafkan papa kerana tidak dapat menyelamatkanmu. Sesungguhnya papa sangat menharapkan kehadiranmu sebagai penyeri hidup mama dan papa,” lembut sekali tutur katanya sambil tangannya mengusap perut isterinya.

 

Episode 2

 

Balqis menanggalkan kalungan bunga di kepalanya apabila tersedar teman baiknya sudah hilang dari pandangan matanya. Ke manalah perempuan ni pergi? Takkan tak sudah-sudah lagi meratapi perpisahan dengan teman lelakinya? Gerutu gadis itu di dalam hati. Dia menyerahkan kalungan bunga ros merah ke tangan jurugambar yang sedang terpinga-pinga dengan perlakuannya. Dia segera menyelongkar beg Coach miliknya lantas mencapai telefon bimbitnya. Lama juga dia menunggu untuk dihubungkan dengan Christine barulah ada suara yang menjawab.

“Pompuan, you kat mane?” marah Balqis sambil tangan kirinya mencekak pinggang.

“I kat luar. I ingat you haus jadi I keluar belikan you air mineral. Kenape?” soal satu suara lembut di hujung talian. Balqis memuncungkan mulutnya, tidak menjawab. Alah, bukan ada yang nampak pun.

“Merajuklah tu. I dah dekat dah,”

“Hmm…,” sahut Balqis pendek lalu mematikan talian. Sedar tak sedar, dia haus pula. Sudah lebih dua jam sesi fotografi dijalankan, tetapi belum ada lagi gambar yang benar-benar menarik perhatiannya. Agaknya jurugambar tu pun dah lenguh memusing lensa kamera.

“Oi, merajuk ke? Takde seri pengantin betul. Kalau I jadi Dr. Idham, dah lama I tinggalkan you,” usik Christine kepada bakal pengantin baru merangkap ‘best friend forever’nya.

“Jahat! By the way, I pun haus juga,” Balqis tersengih menayangkan giginya yang cantik. Beli air konon! Mata pun dah merah, menangislah tu. Bebelnya di dalam hati. Sejak perpisahannya dengan Amran dua bulan lepas, kawannya itu sudah susut berat badan dan menjadi pendiam. Dia lebih suka Christine menjadi murai tercabut ekor daripada bangkai bernyawa seperti itu.

“Nak lepak tak? Habis photoshoot nanti, kita ajak Adnin lepak di Sunway Pyramid nak?” cadang Balqis memancing temannya. Matanya dikenyitkan dengan harapan Christine akan menjadi lebih ceria, namun gadis kelahiran Sarawak itu  hanya tersenyum sahaja.

“You lupa ke I kena kerja petang nanti. I temankan you photoshoot pun dah kira baik tau?”

“Dah, you jangan nak berdalih. Ambil cuti, jom jalan-jalan. I tak suka tengok muka you macam ni. I nak kawan I yang dulu kembali,” ujar Balqis perlahan. Christine menggaru kepalanya yang tidak gatal.

“Baiklah, text Adnin,” Akhirnya Christine bersetuju. Tidak tahan dia melihat wajah teman baiknya itu mengharap.

“Dua bulan lagi kita grad. Tak sabar rasanya. I dah tanya Aizad tentang parti perpisahan kita nanti. Dia cakap makanan serahkan kat dia. Pengangkutan pada Ijam. I nak tanya kawan I tentang chalet keluarga dia di Port Dickson. Yang selebihnya, kita bincang kemudian,”  Balqis bercerita lagi dengan seronoknya membayangkan percutian mereka satu kelas nanti. Christine jadi mak turut sahaja. Port Dickson pun Port Dickson. Andai ke Pulau Sibu sekalipun, dia ikut sahaja.

“Cik Balqis, are you ready? Kita kena cepatkan photoshoot you sebab dah nak lunch hour dah ni. Takut nanti tak sempat nak siapkan photobook hari ni,” Mendengar sahaja kata-kata jurugambar AdPhoto Studio, Balqis dan Christine berpandangan antara satu sama lain. Kemudian, senyum meniti di bibir mereka berdua.

Christine sangat bersyukur kerana dengan adanya teman seperti Balqis dan Adnin di sisinya, sedikit sebanyak mengurangkan sedihnya berpisah dengan Amran. Hatinya benar-benar tawar untuk segala-galanya. Nasib ada sekelumit lagi rasa sayangnya tertinggal, boleh dicurahkan kepada keluarga dan teman-temannya. Begitu teruk sekali  kesan dari perpisahannya dengan teman enam tahun perhubungannya itu. Untung juga waktu itu dia sudah selesai peperiksaan akhir. Mungkin Amran sengaja membiarkan dia menjalani peperiksaan dengan tenang terlebih dahulu sebelum menghancurkan hatinya. Mungkin juga sudah lama Amran pendam rasa untuk memutuskan hubungan yang telah lama terbina itu. Christine masih tidak dapat mencari jawapan yang pasti kepada teka-tekinya selama ini. Salah diakah semuanya terjadi? Atau Amran sudah ada yang lain?

“Chris, selama ini aku bersabar dengan sikap kau. Ada kalanya kau begitu prihatin, ada kalanya kau begitu tidak ambil peduli. Dari dulu aku bersabar dengan sikap kau. Tapi sekarang perangai kau betul-betul keterlaluan. Aku ni boyfriend kau, bukannya orang asing dalam hidup kau. Kita dah kenal lama, dah arif tentang perangai masing-masing. Tidak bolehkah kau usahakan sesuatu agar kita tidak jadi begini?” Masih terngiang-ngiang lagi kata-kata yang diungkapkan oleh lelaki pertama yang bertahan dengan cintanya di telinganya. Meskipun sudah dua bulan, Christine benar-benar tidak dapat menerima hakikat bahawa cinta yang disulamnya selama ini telah berakhir begitu sahaja.

Akif Zairi mengemaskan pakaian Amelia perlahan. Hatinya masih lagi terawang di awangan bersama dengan impiannya untuk menjadi seorang ayah. Amelia sudah boleh keluar hospital hari ini. Sengaja ibu dan ayahnya membiarkannya pergi ke hospital bersendirian agar boleh meluangkan masa  bersama. Memandang keratan akhbar semalam, hatinya bertambah murung. Perlukah publisiti seperti ini dalam kehidupan peribadinya? Dia tidak kisah andai ianya mengenai kerjayanya atau kerjaya Amelia sebagai pelakon, tetapi bukan kehidupan rumah tangganya. Perlukah satu Malaysia tahu dia baru sahaja kehilangan peluang untuk menjadi seorang ayah? Perlukah satu Malaya tahu isterinya keguguran dan tidak dapat mengandung lagi?

“Kif kan ada tiga lagi kuota. Tidak salah kalau Kif kahwin lagi sekiranya isteri pertama gagal memberikan zuriat kepada Kif. Ayah pun rasa kecewa semasa ibu kamu keguguran dulu, tapi ayah redha. Mungkin kerana ayah benar-benar menginginkan adik buat Kak Nani kamu, Tuhan telah berikan ayah rezeki yang berganda dengan lahirnya Kif dan Alif. Zuriat itu penting dalam keluarga Kif. Selain dari penyeri rumah tangga, ianya juga penyambung keturunan Kif. Bincang dengan Lia baik-baik. Mudah-mudahan Lia terima juga,” kata-kata ayahnya semalam bergema di gegendangnya lagi. Semalaman dia tidak dapat melelapkan matanya memikirkan kata-kata ayahnya. Berkahwin lagi bererti menduakan Amelia sekaligus memungkiri janji yang mereka patrikan suatu ketika dulu. Ayahnya juga benar. Dia teringin sekali merasakan detik-detik bergelar ayah kepada anak kandungnya. Yang lahir dari benihnya sendiri, bukan anak angkat.

“Abang…,” sapa satu suara lembut mematikan lamunannya.

Akif Zairi berpaling ke arah isterinya yang masih lagi memakai pakaian hospital. Dia tersenyum hambar seraya mendepakan tangannya. Amelia memeluk suaminya yang terkasih itu, menahan segala sedih dan duka yang berlagu sendu sejak dia tahu mengenai kehilangan bayi dalam kandungannya.

“Abang, Lia minta maaf. Lia tak dapat menjaga zuriat abang dengan baik,” ujarnya perlahan di dalam pelukan suaminya.

“Lia tak salah. Semua ni adalah ujian dari Tuhan kepada kita. Kita kena menerima dengan hati yang besar, nescaya akan ada hikmahnya nanti,” Akif Zairi tidak tahu pujukannya itu untuk hati isterinya ataupun hatinya sendiri.

“Kalau abang nak kahwin lagi satu, Lia izinkan tapi…kalau boleh jangan dalam masa terdekat ini. Berikan masa untuk Lia melapangkan dada menerima ujian Tuhan ini dan juga menerima kehadiran madu Lia,” Akif Zairi bungkam. Dia mengeratkan lagi pelukannya. Membiarkan mereka melayan perasaan masing-masing.

Akif Zairi mengelap pelupuk matanya yang digenangi air tatkala mengenangkan peristiwa yang terjadi hampir empat tahun itu. Peristiwa yang telah menciptakan jurang antara dia dengan isterinya. Dia sayangkan Lia. Sangat sayang. Meskipun apa yang telah terjadi itu adalah takdir Tuhan, bukan salah Lia atau silapnya dia namun rumah tangganya terasa sangat kosong tanpa cahaya mata. Dia cemburu  melihat abang kembarnya Alif Zikri dengan Rayyan dan juga Kak Rosnani dengan Elisya. Dia bukan mandul, isterinya pula… Memikirkan keadaan isteri dan rumah tangganya, Akif Zairi mengeluh kecil. Beberapa kali ibu dan ayahnya menyarankan mengenai perkahwinannya kali yang kedua, dia buat endah tak endah. Dia bingung.

 

 

 

 


 

 


Leave a comment

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Connecting to %s