Hati Yang Mencintai (Episode 3)


Episode 3

 

Christine bermenung sendirian memerhatikan matahari terbenam dengan khusyuk tanpa menyedari ada yang mata memerhatikannya. Hanya beberapa orang sahaja teman sekelasnya yang sudah sampai di chalet yang ditempah khas oleh Balqis seminggu yang lalu. Mereka bertiga sampai sehari lebih awal untuk mengelola rancangan itu bersama-sama dengan rakan sekelas yang lain.

“Cantik kan?” soal satu suara menyapanya dari arah belakang. Christine menoleh perlahan seraya melemparkan senyuman manisnya. Dia mengangguk setuju.

“Baru sampai ke?” soal Aizad seraya melabuhkan punggungnya di sebelah gadis itu. Christine mengangguk lagi.Mentari senja yang mengufuk ke barat menyinari wajah manis Christine. Namun dia perasan wajah yang sentiasa manis di hadapannya itu tidak seceria selalu. Bagaikan ada sesuatu perkara buruk yang sedang melandai pantai hatinya saat ini.

“Chris, aku bukannya nak menyibuk dengan hal peribadi kau tapi… aku pun baru dapat tahu yang kau sudah berpisah dengan pakwe kau. Aku tumpang sedih…,” Belum sempat Aizad menghabiskan kata-katanya, kepala Christine sudah terlentok pada bahunya. Patutlah diam sahaja, tidur rupanya budak ni! Omel Aizad dalam hati. Dia memandang wajah Christine yang sudah terlelap lena. Pipinya basah dek air mata. Memandang Christine saat itu menerbitkan satu perasaan halus dalam lubuk sanubarinya. Ini bukan kali yang pertama namun kali ini getarannya lebih hebat dari biasa.

“Aku kenal kau sejak empat tahun yang lalu. Christine yang aku kenal bukan lemah semangat seperti ini. Terlukakah hatimu kerana insan yang tidak layak mendapat cinta dan kasih kau? Kenapa tidak kau bukakan hati kau untuk orang yang benar-benar menyayangi kau? Lupakan dia, Chris. Carilah bahagiamu, hapuskan duka yang sedang kau alami. Kau layak untuk berbahagia,” luah Aizad sayu. Masih terbayang di tubir matanya gelak tawa dan lawak selamba Christine yang selalu berkumandang di dalam kelasnya. Bibirnya sangat comel ketika merajuk. Matanya sangat cantik tatkala marah. Christine yang enggan mengalah dalam perdebatan. Suka berlagak tenang tapi mudah melatah.

Tanpa dia sedari, ada mata yang sedang memerhatikan romantiknya keadaan mereka berdua dari jauh. Beberapa pasang mata yang sudah bersedia untuk mencanangkan gosip dan mencipta rancangan menyatukan mereka berdua. Balqis dan Adnin bercekak pinggang dari dalam chalet penginapan mereka apabila ternampak Anuar, Ramli, Farah dan Suhaila terhendap-hendap di sebalik sebatang pokok kelapa. Entah orang puteh dari mana pula yang mereka skodeng sampai beria-ia mengambil gambar segala.

“Apa pula yang dia orang buat tu? Ada mat saleh buat wayang free ke?” soal Balqis kepada Adnin. Sebentar tadi mereka sedang sibuk mencari teman baiknya yang hilang entah ke mana sejak tiba di chalet milik kenalan rapat Balqis. Adnin menjungkitkan bahunya.

“Mari cari Chris dulu. Takut pula budak tu kena kidnap ke ape. Dari pagi lagi dia tu tak makan, I takut dia gastrik nanti,” ajak Adnin pula. Baru beberapa langkah kaki dihayunkan, serentak mesej multimedia mereka terima.

I think I know where she is,” ujar Adnin perlahan. Balqis terdiam seketika. Cepat betul Christine menemui pengganti Amran. Bukannya dia tidak perasan layanan istimewa Aizad terhadap sahabat baiknya itu selama ini.

I got text from Farah. Dia cakap kita kena meeting segera di lobi sekarang. Tak nak tunggu yang lain sampai ke?” tanya Adnin memandang ke arah Balqis yang masih lagi terdiam dari tadi. Balqis menggeleng perlahan.

“ Beritahu semua yang dah ada berkumpul di lobi sekarang kecuali Chris dan Aizad,” putus Balqis akhirnya bersuara. Adnin pantas menarikan jemarinya di atas Blackberrynya pantas.

 

Christine menggosok kelopak matanya. Dia pantas menjauhkan badannya dengan Aizad sebaik tersedar yang kepalanya berbaring elok di bahu Aizad. Aizad mengulum senyum dalam diam. Christine membetulkan rambutnya yang serabai ditiup angin dengan hujung jarinya. Dia berdehem kecil seraya bangun. Aizad masih berlunjur selamba di atas pasir bagaikan tiada apa-apa yang terjadi.

So…sorry,” ucap Christine antara dengan tidak. Aizad mengangguk-angguk tetapi masih tidak bersuara.

“Saya…saya balik bilik dulu,nak mandi. Mesti Balqis dan Adnin mencari saya dari tadi,” kekok Christine bercakap dengan Aizad tetapi Aizad masih buat tidak mendengar pula. Dia tahu gadis itu tengah menggelabah sekarang. Kalau dia bercakap mengenai peristiwa tadi, mahu taknya sepuluh purnama Christine tidak bertegur sapa dengannya nanti. Melihatkan Aizad masih lagi terdiam, Christine jadi bertambah runsing.

“Aku ciao dulu. Jumpa malam nanti,” ujarnya menjinjing sepatu di tangan kanannya.

“Okey,” sepatah Aizad menyahut. Dia menghantar pemergian Christine dengan anak matanya yang mengekori setiap langkah kakinya. Laju langkahannya. Dia tersenyum sendiri.

 

“Abang, cepatlah!” Panggil Amelia sambil jam tangannya dilihat berkali-kali.

“Abang datanglah ni. Dah bawa apa yang patut?” soal Akif Zairi kepada isteri tersayangnya. Lugej Polo yang memuatkan pakaian miliknya dan isterinya ditarik ke arah pintu. Sudah beberapa bulan isterinya merancang percutian mereka di Port Dickson, baru hari ini kedua-duanya tidak sibuk dengan urusan masing-masing. Akif Zairi sudah menyiapkan proposal untuk reka bentuk hospital swasta di Shah Alam yang perlu dihantar minggu hadapan beberapa hari yang lalu dan isterinya baru tamat penggambaran di Bangi Ahad lepas. Amelia memeriksaan semua dokumen penting di dalam tas tangannya.

“Marilah, nanti lambat pula nak sampai ke majlis Fahrin. Abang dah confirmkan masa kita check in di chalet jam 8.30 nanti,” Akif Zairi mengingatkan isterinya lagi. Amelia mengangguk mengiyakan. Kalau tak sampai lima kali suaminya itu mengulangi perkara yang sama, tidak sahlah jawabnya. Dia sudah terbiasa dengan perangai Akif Zairi yang suka semuanya mengikut rentak dia. Putih katanya, putih jugalah.

Perjalanan mereka dari Seremban ke Port Dickson cuma mengambil masa satu jam setengah sahaja. Sebaik sahaja check in di chalet yang ditempah oleh setiausahanya, Akif Zairi dan Amelia berjalan beriringan ke pantai yang sudah berhias indah untuk majlis pertunangan sahabat sepasukan bola sepaknya, Fahrin. Alif Zikri juga baru sahaja tiba dari Seremban 2 bersama dengan teman ciliknya, Rayyan.

“Minggu ni abang yang jaga Rayyan ye? Kenapa tak tinggalkan dengan ibu dan ayah?” soal Akif Zairi kepada Alif Zikri bertubi. Sempat dia mencubit pipi anak saudara kesayangannya yang comel itu. Rayyan tersenyum menghampirinya dan menyalami tangannya. Saat tangan kecil itu mencapai tangannya, hatinya tersentuh. Bilakah akan tiba masanya dia memiliki anak sendiri yang comel seperti Rayyan? Amelia yang perasan akan perubahan pada wajah suaminya itu bungkam seketika. Dia juga ingin memiliki anak sendiri, melahirkan zuriat untuk suaminya yang tercinta.

“Papa Akif, cantik Mama Lia,” panggilan ‘papa’ dari bibir comel Rayyan menambahkan lagi sayu di hatinya namun dia mencuba sedaya upaya untuk mengukir senyuman semanis yang boleh. Alif Zikri tidak terlihat perubahan pada wajah adiknya tersenyum mendengar pujian anaknya.

“Pandai Rayyan membodek Mama Lia ye? Papa atau mama yang ajar ni?” soal Amelia kepada Rayyan. Rayyan tersenyum manis. Wajahnya lebih mirip mamanya, Raina namun hidungnya sama seperti hidung papanya, mancung.

“Akif, Alif! Lama dah tak dengar khabar dari kau Akif. Dengar cerita pun dari newspaper dan magazine  tapi itu pun belum tentu tepat. Maklumlah wartawan zaman sekarang ni suka menokok tambah cerita,” panggil Fahrin mendekati mereka. Tiga sahabat baik itu bersalaman dan berpelukan. Sejak mengalami kecederaan lutut yang serius tiga tahun yang lalu, Akif Zairi sudah tidak bergiat lagi dalam sukan kegemarannya. Dia menyertai ayah, kakak dan abang iparnya menerajui bisnes hartanah. Dalam diam dia merindui jurulatih dan rakan sepasukannya juga, lebih-lebih lagi padang bola sepak tempatnya beraksi.

“Macam ni jugalah. Tak berubah pun,” jawab Akif Zairi kepada temannya yang bakal berkahwin dengan pilihan hatinya.

“Lia, Akif! Korang kahwin dah dekat lima tahun, kenapa tak ada hasil lagi ni? Rayyan pun dah berusia lima tahun,” usik Azhar, penjaga gol Pasukan Negeri Sembilan merangkap bekas sepasukannya juga. Senyuman yang mekar dibibir Amelia sebentar tadi termati. Dia memandang ke arah suaminya, berharap agar ada jawapan untuk soalan temannya itu.

“Dah tak ada rezeki nak buat macam mana. Tuhan tak bagi lagi,” Akif Zairi menjawab dengan nada suara yang mendatar. Alif Zikri yang diam dari tadi merenung wajah adiknya yang kelihatan selamba itu. Dia tahu, pasti susah untuk Akif Zairi menjawab soalan yang asyik diajukan kepadanya lebih-lebih lagi yang tidak mengetahui keadaan adik iparnya yang tidak boleh mengandung lagi setelah keguguran empat tahun lepas.

“Kau tahu je tanya orang punya. Habis kau tu tiga tahun dah kahwin, mana pula hasilnya?” tempelak Alif Zikri kepada sahabatnya itu. Azhar tersengih-sengih menggaru kepalanya yang ditumbuhi rambut yang lebat.

“Alah, bak kata Kif sendiri. Tuhan belum bagi lagi. Lagipun isteri aku doktor, sibuknya mengalahkan artis. Nak berdua-duaan pun susah,” komen Azhar. Akif Zairi menjeling isteri yang setia di sisinya. Amelia pun artis, sibuk pun ada masa juga jaga rumah. Cuma yang jarang ada di rumah dengan jawatan yang disandangnya sekarang adalah dia, Akif Zairi Ridhuan COO Mount Holdings.

“Mama Lia, Rayyan bosan lah. Boleh kita pergi ke pantai sana tu?” Rayyan menarik lengan baju Amelia mengajaknya berjalan-jalan. Amelia memandang suaminya memohon keizinan untuk berjalan-jalan mengambil angin berhampiran pantai.

“Pergilah. Jangan jalan jauh-jauh tau?” pesan Akif Zairi seraya mencuit dagu anak saudaranya itu.

“Rayyan jangan lari-lari tau? Tak larat Mama Lia nak mengejar nanti. Mama Lia pakai high heels tu,” pesan Alif Zikri kepada anak bujangnya pula sambil-sambil mengusik adik iparnya. Rayyan mengangguk bersungguh-sungguh.

 

 

 

 

 

Leave a comment

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Connecting to %s